Memacu kerjasama ASEAN yang dinamik, berteraskan rakyat



​​

Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor/Morshidi, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





CEBU CITY, REPUBLIK FILIPINA, Jumaat, 8 Mei. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat bersama para pemimpin ASEAN bagi menghadiri Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48; dan Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Mactan Expo, Cebu City, Republik Filipina.


Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.


Perbincangan pada Sesi Plenari Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 ini tertumpu kepada keselamatan dan kedayatahanan tenaga serantau; keselamatan makanan; serta keselamatan rakyat ASEAN.


Semasa sesi tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menyambut baik tema Pengerusian Republik Filipina, iaitu "Navigating Our Future, Together", yang amat bertepatan memandangkan persekitaran global yang semakin kompleks yang dihadapi oleh ASEAN.


Dalam tempoh dua dekad yang lalu, ASEAN telah menghadapi pelbagai krisis serantau dan antarabangsa - termasuk kejutan kewangan, pandemik, dan bencana alam - di mana pengalaman-pengalaman tersebut telah membuktikan bahawa ASEAN adalah paling kukuh apabila ia kekal bersatu, praktikal, dan berteraskan rakyat.


Menyentuh mengenai krisis di Rantau Teluk, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan bahawa ini merupakan peringatan selanjutnya bahawa cabaran-cabaran ASEAN saling berkait rapat, dengan pasaran tenaga yang tidak menentu, harga yang semakin meningkat, tekanan ke atas pengeluaran makanan, peningkatan kos logistik, serta ketidaktentuan perdagangan dan pelaburan, semuanya memberi kesan langsung kepada rakyat di rantau ini.


Baginda seterusnya mengalu-alukan pemeteraian Visi Komuniti ASEAN 2045 sebagai panduan jangka panjang yang jelas ke arah ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik, dan berteraskan rakyat. Bagi merealisasikan visi ini, kerjasama praktikal yang mengukuhkan daya tahan dalam bidang-bidang yang paling penting adalah diperlukan.


Mengenai kerjasama tenaga, Kebawah DYMM menyatakan sokongan terhadap usaha-usaha berterusan untuk melaksanakan ASEAN Petroleum Security Agreement, memperluaskan ASEAN Power Grid, dan memajukan Trans-ASEAN Gas Pipeline, serta menggalakkan penerokaan langkah-langkah keselamatan tenaga bersama Rakan-Rakan Dialog, dengan mengambil pengajaran daripada mekanisme serantau yang berjaya.


Justeru, ASEAN perlu menangani rangkaian hubungan tenaga dan makanan bagi memastikan keselamatan makanan, memandangkan kenaikan harga bahan bakar memberi kesan kepada pengeluaran, pengangkutan, baja, dan kos makanan di seluruh rantau ini.


Pengukuhan rizab kecemasan seperti ASEAN Plus Three Emergency Rice Reserve (APTERR), penambahbaikan perkongsian maklumat, peningkatan produktiviti, dan pemerkasaan kerjasama teknologi seterusnya dapat membina jaringan keselamatan yang lebih kukuh bagi rakyat rantau ini.


Akhir sekali, Kebawah DYMM bertitah bahawa dalam keadaan krisis, ASEAN tidak boleh sesekali melupakan keluarga ASEAN, dan dalam hal ini, mengakui manfaat peningkatan bantuan konsular di negara-negara ketiga melalui perancangan kontingensi bersama dan protokol tindak balas pantas. Dalam usaha ASEAN mengemudi masa depannya bersama-sama, daya tahan rantau ini akhirnya akan dinilai berdasarkan perbezaan praktikal yang dibawanya kepada kehidupan rakyatnya, sama ada melalui tenaga yang stabil, bekalan makanan yang selamat, atau komuniti yang lebih selamat.


Pada penghujung Sesi Plenari, tiga dokumen telah pun diluluskan, iaitu: Cebu Protocol To Amend the Charter of the Association of Southeast Asian Nation; ASEAN Leaders' Declaration on Maritime Cooperation; dan ASEAN Leaders' Declaration on the Response to the Middle East Crisis.


Pada Sesi Retreat yang berlangsung di Shangri-La Mactan, Kebawah DYMM bersama para pemimpin ASEAN bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk kapasiti ASEAN dalam menangani serta mengurangkan impak yang timbul daripada ketegangan geopolitik.


Close